KUALA LUMPUR, 24 Jun 19 – Satu Upacara Perbarisan Paluan Berundur Markas Angkatan Bersama telah berlangsung di Padang Kawad Kem KEMENTAH hari ini. Upacara Perbarisan Paluan Berundur ini diadakan bersempena dengan perpindahan Markas ini ke penempatan baru di Kompleks Markas Angkatan Bersama Kem Sungai Panching, Kuantan Pahang Darul Makmur. Dengan berlangsungnya upacara ini juga, secara rasminya pengoperasian Markas Angkatan Bersama di bangunan Kem KEMENTAH, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur berakhir dan akan meneruskan pengoperasiannya di Kompleks Markas Angkatan Bersama Kem Sungai Panching.
Perbarisan Paluan Berundur ini terdiri daripada 56 pegawai dan 125 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan (Darat, Laut, Udara) yang bertugas di Markas Angkatan Bersama diketuai oleh Laksamana Pertama Dato’ Saifuddin bin Kamarudin Asisten Ketua Staf J5 selaku Ketua Perbarisan. Upacara Paluan Berundur turut menyaksikan Upacara Penyerahan Bendera Markas Angkatan Bersama oleh Leftenan Jeneral Dato’ Suhaimi bin Hj Mohd Zuki Panglima Angkatan Bersama kepada Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Zainal Abidin Panglima Angkatan Tentera, sebagai simbolik pengunduran Markas Angkatan Bersama dari bangunan Kem KEMENTAH.
Menyingkap kembali sejarah penubuhan Markas Angkatan Bersama, ianya telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan pada ketika itu pada 6 September 2004 dan diwujudkan untuk memenuhi keperluan penubuhan sebuah Markas Pemerintahan Angkatan Bersama (MK PAB). Laksamana Madya Dato’ Ramlan bin Mohamed Ali, Ketua Staf Markas ATM (MK ATM) telah dilantik merangkap jawatan sebagai Panglima Pemerintahan Angkatan Bersama (PPAB) yang pertama. Organisasi ini telah ditangguhkan buat sementara waktu pada Ogos 2005 sehinggalah ditubuhkan semula sebagai Markas Angkatan Bersama (MK AB) pada 1 Disember 2006. Penubuhannya pada kali ini lebih menumpukan kewujudan perjawatan keanggotaan yang kekal dan bertugas di sebuah Markas yang tersendiri bagi pengendalian operasi yang lebih mantap.
Bagi menentukan perjawatan Markas Angkatan Bersama dapat direalisasikan, MK ATM telah memacu usaha untuk memperolehi perjawatan yang tetap. Melalui usaha ini dan sokongan Panglima Angkatan Tentera, maka perjawatan organisasi telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam secara rasminya pada 16 Julai 2007. Ketua Staf MK ATM telah menyerahkan tugas Panglima Angkatan Bersama (PAB) kepada Leftenan Jeneral Dato’ Allatif bin Mohd Noor. Dengan kekuatan seramai 312 Pegawai dan anggota, Markas tersebut telah melaksanakan tugas yang diamanahkan berdasarkan kepada konsep Bersama (Jointness) yang bersifat Tiga Khidmat (Tri-Service) yang diwujudkan untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan dalam membantu Panglima Angkatan Tentera dalam aspek pemerintahan dan pengawalan operasi di peringkat tertinggi ATM.
#BerjuangBersama