SHAH ALAM, 1 Jun 22 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-64 yang diadakan di Pangkalan Udara Subang. Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah antara tetamu yang turut bersama hadir ke istiadat bersejarah ini.

Ketibaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan berserta Panglima Angkatan Tentera dan isteri; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri, Datin Indera Dr Hajjah Sorayah binti Sidek; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM dan isteri, Datin Indera Hajjah Nazriah binti Hj Mahmod serta Panglima-panglima Pemerintahan bersama isteri masing-masing.

Pada istiadat bersejarah hari ini, komposisi perbarisan adalah terdiri daripada 23 Pegawai dan 420 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Ketua Perbarisan, Leftenan Kolonel Hassan Basri bin Tajul Arifin TUDM manakala Penolong Ketua Perbarisan adalah Mejar Muhammad Safwan bin Abdul Jalil TUDM dan Ajutan perbarisan adalah Kapten Mohd Khairul Razlee bin Md Zamri TUDM serta diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat TUDM; Kolej Tentera Udara, Alor Star dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Kapten Sabri bin Hamil TUDM. Kontinjen perbarisan turut membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-panji Kolej Tentera Udara, No 10 Skuadron, No 12 Skuadron, No 15 Skuadron , No 16 Skuadron, No 18 Skuadron dan No 20 Skuadron bersama empat Skuadron Pengawal.

Sebaik keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima penghormatan Diraja disertai terbang lintas hormat lima (5) buah helikopter iaitu tiga (3) helikopter EC 725 AP yang membawa bendera Malaysia, bendera Angkatan Tentera Malaysia, bendera TUDM dan dua (2) helikopter AW 139 seterusnya diikuti dengan pemeriksaan perbarisan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan menaiki kenderaan istiadat.

Konsep perbarisan pada kali ini berbeza daripada tahun sebelumnya iaitu dilaksanakan secara perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat. Perbarisan pada kali ini turut disertai dengan terbang lintas hormat pesawat-pesawat TUDM terdiri daripada pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, BAE Hawk dan F/A-18D Hornet; Pesawat angkut A400M dan pesawat latihan PC-7 MKII. Buat pertama kali bersama helikopter EC 725 AP, helikopter AW 139 turut membuat terbang lintas hormat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya telah mencemar duli menyampaikan Titah Diraja sebagai menzahirkan sokongan Baginda kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dan Warga Udara.

Selesai istiadat perbarisan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Diraja untuk bersama kira-kira 2,000 hadirin yang hadir termasuk mantan-mantan Panglima Tentera Udara, Penasihat Pertahanan, wakil-wakil Kedutaan serta warga TUDM khususnya dari sekitar Lembah Klang.

Tema sambutan iaitu ”Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” yang dipilih dapat menterjemahkan peranan utama TUDM sebagai kuasa udara yang amat penting dan tunjang utama pertahanan di dalam melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. TUDM akan terus perkasa dan mampu berperanan dengan berkesan melalui aplikasi keupayaan yang jitu di setiap kawasan berkepentingan negara (core, extended and forward). Pemantapan TUDM diperkasakan melalui dua elemen yang amat penting iaitu warga yang berkapasiti tinggi dan keupayaan peralatan ketenteraan yang dievolusikan seiring dengan kemodenan teknologi semasa.

Di samping itu, bersempena genapnya usia penubuhan TUDM yang ke-64 pada tanggal 1 Jun 2022, sambutan hari ulang tahun kali ini di bawah tampuk kepimpinan Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM menggariskan enam tonggak utama di dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-20 yang perlu dihayati dan difahami oleh setiap warga udara supaya setiap tindakan selepas ini akan memastikan TUDM dapat berfungsi sebagai sebuah angkatan udara yang efektif dan kredibel. Enam tonggak tersebut ialah Pemantapan Keupayaan dan Kesiagaan TUDM; Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi; Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara; Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi; Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan serta Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga. Kunci kejayaannya pula dapat dicapai melalui empat (4) faktor utama iaitu Modal Insan yang Berkualiti, Penjanaan Keupayaan Aset-aset Udara, Pengurusan Sumber Kewangan yang Berkesan dan Kualiti Kepimpinan Organisasi.

Sesungguhnya peristiwa hari ini melakar sejarah yang tersendiri dan amat bermakna dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta acara terbesar TUDM selepas negara diisytiharkan melalui fasa endemik pada 1 Mei 22.

Published by P. Waran

A Warrant Officer with high seniority and extensive experience and knowledge.

Exit mobile version