BALI, 7 Jun 2023 – Penglibatan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM di 20th ASEAN Chief of Defence Forces Meeting (ACDFM-20) yang berlangsung di Bali, Indonesia dilihat berjaya memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara-negara Asean lain terutamanya daripada segi aspek keamanan, kemakmuran dan keselamatan negara bersesuaian dengan tema ASEAN Defence Minister’s Meeting (ADMM) tahun 2023 iaitu “Peace, Prosperity and Security”.
ACDFM-20 telah dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono selaku tuan rumah mesyuarat edisi kali ini. Semasa mesyuarat, Panglima Angkatan Tentera negara-negara Asean dan wakil telah membincangkan pelbagai isu keselamatan strategik yang memberi kesan kepada rantau ini dan dunia dalam usaha memacu kemakmuran negara ASEAN.
Mesyuarat tersebut turut bersetuju dengan polisi mengutamakan wilayah yang selamat, aman dan stabil bagi peningkatan kemakmuran negara-negara Asia Tenggara. Bagi merealisasikan keamanan dan kemakmuran di ASEAN, Laksamana Yudo Margono selaku pengerusi mesyuarat menegaskan yang Indonesia akan memupuk kerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN yang lain dengan terus berpegang kepada pemusatan ASEAN di rantau ini dan mempromosikan ‘ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP)’.
Laksamana Yudo Margono memberitahu bahawa usaha ini memerlukan kerjasama erat negara-negara ASEAN dalam mengekalkan keamanan di rantau ini di mana ACDFM menjadi pusat kerjasama ketenteraan yang dibentuk di ASEAN. Laksamana Yudo Margono turut memaklumkan berkenaan beberapa persetujuan yang berjaya dicapai semasa ACDFM edisi kali ini antaranya menyokong pengembangan kerjasama ASEAN dalam AOIP dan Perspektif Pertahanan. Sebagai permulaan AOIP, Indonesia menekankan kepentingan pendekatan ASEAN ke arah Indo-Pasifik dari perspektif pertahanan, khususnya kerjasama pertahanan dengan rakan dialog ASEAN yang akan memberi sumbangan besar dalam mewujudkan keamanan dan kemakmuran dunia.
Bagi merealisasikannya, ASEAN perlu meluaskan skop kerjasama kepada empat tunjang utama iaitu kerjasama maritim, ketersambungan, matlamat pembangunan mampan dan kerjasama ekonomi. Semasa mesyuarat yang sama, kesemua Panglima Angkatan Tentera dan wakil negara-negara ASEAN turut bersetuju untuk bersatu bagi mengukuhkan kedudukan blok tersebut, terutamanya bagi mengekalkan kestabilan rantau ini seperti menjalankan latihan bersama secara rutin dan rondaan terkoordinasi di kawasan sempadan negara-negara ASEAN.
Satu perjanjian juga berjaya dicapai di ACDFM-20 iaitu melibatkan pengukuhan kerjasama Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara negara-negara ASEAN. Sebagai merealisasikan komitmen itu, forum ACDFM telah bersetuju untuk mengadakan latihan ketenteraan bersama melibatkan semua angkatan tentera di Laut Natuna Utara, Kepulauan Riau, Indonesia. Latihan bersama yang dinamakan ‘ASEAN Solidity Exercise (ENatuna)’ atau ‘Asec 01N’ dirancang diadakan pada September 2023. Aset-aset yang akan terlibat semasa ENatuna/Asec 01N akan melibatkan pencarian dan menyelamat maritim (SAR) serta aktiviti khidmat masyarakat di Natuna.
Menurut Laksamana Yudo Margono, latihan ketenteraan bersama yang melibatkan semua anggota negara ASEAN adalah yang pertama dalam sejarah ketenteraan negara anggota ASEAN kerana latihan sebegini tidak pernah diadakan sebelum ini yang mana ianya menjadi satu penggerak kepada ahli mesyuarat untuk bersetuju sebulat suara untuk mengadakan latihan ini. Pada mesyuarat yang sama, Laksamana Yudo Margono turut menekankan bahawa skop ENatuna/Asec 01N yang akan datang perlu melibatkan Timor Leste yang baru-baru ini mendapat kelulusan untuk menjadi ahli penuh ASEAN.
Di akhir mesyuarat, Laksamana Yudo Margono telah menyerahkan jawatan pengerusi ACDFM kepada Leftenan Jeneral Khamlieng Outhakaisone, Timbalan Menteri Pertahanan Negara dan Ketua Jabatan Staf Am Tentera Rakyat Laos yang mewakili Panglima Angkatan Tentera Rakyat Laos yang akan mempengerusikan Mesyuarat ACDFM ke-21 pada tahun 2024 di negara tersebut.
Terdahulu, Laksamana Yudo Margono telah mengalu-alukan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan semua ketua tentera serta wakil negara-negara ASEAN lain dalam satu majlis makan malam pada 6 Jun 23 di Nusa Dua, Badung, Bali. Ketibaan mereka disambut meriah dengan tarian tradisional Bali diiringi bunyi gamelan Bali. Turut hadir semasa mesyuarat pada kali ini adalah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Rear-Admiral (RADM) Aaron Beng Yao Cheng; Panglima Angkatan Tentera Angkatan Bersenjata Singapura, General Chalermphon Srisawasdi, Panglima Angkatan Tentera; Angkatan Tentera Diraja Thailand, General Vong Pisen; Panglima Angkatan Tentera, Angkatan Tentera Diraja Kemboja, General Andres Centino; Ketua Staf Angkatan Tentera Filifina, Leftenan Jeneral Khamlieng Outhakaisone; Timbalan Menteri Pertahanan Negara dan Ketua Jabatan Staf Am Tentera Rakyat Laos serta Commodore Donaciano Rosario Costa Gomes; Ketua Staf Falintil Forca Defesa De Timor Leste.
Selain daripada persidangan tersebut, delegasi Malaysia turut mengadakan Bilateral Meeting bersama beberapa buah negara seperti Indonesia, Laos dan Singapura bagi memperincikan perkembangan kerjasama ketenteraan antara negara-negara tersebut. Dalam persidangan pada kali ini turut menyaksikan penglibatan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Razali bin Alias yang akan hadir ke persidangan ASEAN Military Intelligence Meeting (AMIM) manakala Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (OLP), Mejar Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan pula akan menghadiri ke persidangan ASEAN Military Operation Meeting (AMOM) yang juga merupakan sebahagian dari aktiviti persidangan negara ASEAN yang berlangsung mulai 4 hingga 6 Jun 2023.